Isnin, 11 Februari 2019 | 12:32pm
Musim bunga sakura amat ditunggu-tunggu oleh pelancong tempatan dan luar. - Foto AFP
Rakyat memberi perhatian lebih kepada musim bunga sakura berbanding bunga lain di Jepun. - Foto AFP

Pakar cari kaedah terbaik ramal bunga sakura mekar

TOKYO: Ketika musim bunga semakin hampir di Jepun, agensi kaji cuaca negara itu berhadapan antara misi terbesar tahun ini iaitu meramalkan dengan tepat bila bunga sakura yang terkenal itu akan mekar.

Musim bunga sakura amat ditunggu-tunggu oleh pelancong tempatan dan luar.

Ramai pelancong merancang perjalanan mereka ketika musim ia mekar dan penduduk tempatan membanjiri taman untuk menikmati musim mengagumkan itu.

“Rakyat memberi perhatian lebih kepada musim bunga sakura berbanding bunga lain di Jepun,” kata pegawai unit statistik Agensi Kaji Cuaca Jepun, Ryo Dojo.

Elemen paling asas meramalkan bila kelopak lembut berwarna merah jambu dan putih itu akan mula berkembang adalah set data suhu yang besar.

Ia disebabkan bunga akan berkembang lebih awal jika suhu meningkat cepat pada musim bunga.

Sebaliknya, jika suhu pada musim luruh dan sejuk tinggi berbanding biasa, ia akan mekar lewat.

Dalam usaha memperbaiki ramalan, beberapa cawangan mula menyelidik data, termasuk Weathernews, firma di Chiba berhampiran Tokyo.

Ia bergantung kepada gambar tunas yang dihantar oleh 10,000 penduduk seluruh negara yang berdaftar di laman web dan aplikasi syarikat berkenaan.

“Mustahil untuk kami meramalkan sakura tanpa sistem ini,” kata jurucakapnya, Miku Toma. — AFP

794 dibaca
Berita Harian X