Isnin, 11 Februari 2019 | 1:21am
Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennett.

Netanyahu berjanji potong dana Palestin

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mahu penggal pemerintahan beliau dilanjutkan berjanji untuk membekukan penyaluran dana kepada pihak berkuasa Palestin (PA), semalam.

Perkembangan itu berlaku, selepas seorang wanita Yahudi terbunuh diserang penduduk Palestin selain diasak seteru politik nasionalis.

Israel mengutip kira-kira AS$127 juta (RM516.76 juta) duti kastam terhadap barangan untuk pasaran di Palestin yang melalui pelabuhan Israel. Kerajaan Zionis itu kemudian membayar kutipan terbabit kepada PA.

Tahun lalu, parlimen Israel meluluskan undang-undang untuk menahan sebahagian dana itu sebagai tindak balas kepada bayaran PA terhadap ahli keluarga penduduk Palestin yang dipenjarakan Israel kerana menyerang warga Yahudi.

“Menjelang akhir minggu ini, kerja-kerja melaksanakan undang-undang memotong gaji pengganas akan selesai.

“Ahad depan saya akan mengadakan mesyuarat kabinet keselamatan dan kami akan meluluskan keputusan perlu bagi menolak dana ini.

“Pastinya, dana ini akan dipotong mulai minggu depan,” kata Netanyahu yang dijadualkan berdepan pilihan raya April depan.

Awal semalam, Menteri Pendidikan Naftali Bennett adalah antara golongan nasionalis yang mendesak Netanyahu supaya melaksanakan undang-undang itu, selepas seorang penduduk Palestin ditahan, hujung minggu lalu atas tuduhan membunuh Ori Ansbacher, 19. - AFP

696 dibaca
Berita Harian X