SEOUL: Kerajaan Korea Selatan memeterai perjanjian untuk menambah bayaran kos penghantaran tentera Amerika Syarikat (AS) di semenanjung itu, hari ini, selepas Presiden Donald Trump menggesa negara terbabit supaya menambah sumbangan.
Sejak Perang Korea 1950 hingga 1953, kira-kira 28,500 tentera AS diletakkan di negara itu.
Perjanjian baharu itu masih perlu diluluskan parlimen Korea Selatan dan ia akan menambah sumbangan kepada 1.03 trilion won (RM3.62 bilion) daripada 960 bilion won, tahun lalu.
Tidak seperti perjanjian terdahulu yang berlangsung selama lima tahun, perjanjian kali ini akan tamat dalam setahun. Ia mungkin memaksa kedua-dua pihak kembali berunding dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Ia adalah proses yang panjang, namun ia tetap berjaya,” kata Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha dalam satu mesyuarat, sebelum seorang lagi pegawai kementerian menandatangani perjanjian itu.
Bagaimanapun, Kyung-wha memaklumkan tindak balas terhadap persetujuan itu positif, setakat ini. Namun begitu, beliau turut mengakui kritikan domestik berhubung perjanjian baharu itu.
Penasihat kanan Jabatan Negara AS untuk rundingan perjanjian keselamatan, Timothy Betts berkata, sumbangan itu hanya mewakili sebahagian kecil tetapi menjadi sokongan penting Korea Selatan kepada pakatan dua negara.
“Kerajaan juga AS sedar bahawa Korea Selatan banyak menyumbang kepada pakatan, keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya. - Reuters