HASAKEH: Tentera disokong Amerika Syarikat (AS) bertempur sengit, hari ini, ketika mereka menumpukan baki kawasan terakhir negara kalifah kumpulan Daesh di timur Syria.
Pada 2014, militan terbabit menawan sebahagian besar negara itu dan negara jiran Iraq, namun banyak serangan ketenteraan kemudian mengurangkan wilayah pengganas berkenaan kepada kawasan kecil di sempadan Iraq.
Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang disokong pakatan diterajui AS mengumumkan operasi terakhir untuk menawan kawasan militan terbabit, lewat semalam, selepas menghentikan pertempuran lebih seminggu bagi membolehkan penduduk awam melarikan diri.
Seorang komander lapangan SDF berkata, pertempuran sedang berjalan di lapangan, pagi tadi.
“Pertempuran sengit sedang berlaku, ketika ini. Kami sudah melancarkan serangan dan pejuang semakin mara,” katanya.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, banyak pesawat pakatan dan meriam artileri digunakan untuk mengebom kedudukan pengganas.
“Pertempuran sedang berjalan. Ada pertempuran sengit, pagi tadi dan ada juga periuk api meletup,” kata ketua badan pemerhati di Britain itu, Rami Abdel Rahman. - AFP