Ahad, 10 Februari 2019 | 5:27pm
Abdelkhaleq dan Abdelrahim dilahirkan di luar Sanaa kira-kira dua minggu lalu dan berkongsi buah pinggang dan sepasang kaki namun memiliki jantung dan paru-paru berasingan. - Foto EPA

Kembar siam Yaman, Abdelkhaleq-Abdelrahim meninggal dunia

SANAA: Hasrat untuk mendapatkan bantuan perubatan kecemasan buat bayi kembar siam Yaman di luar negara musnah apabila dua beradik malang itu disahkan meninggal dunia Sabtu lalu di sini.

Abdelkhaleq dan Abdelrahim dilahirkan di luar Sanaa kira-kira dua minggu lalu dan berkongsi buah pinggang dan sepasang kaki namun memiliki jantung dan paru-paru berasingan.

Ketua Jabatan paediatrik hospital Al-Thawra Sanaa, Dr Faizal al-Babili berkata jabatannya kekurangan kelengkapan untuk merawat atau memisahkan kembar itu dan Rabu lalu merayu bantuan dari luar negara.

Pemberontak Houthi yang menentang kerajaan disokong Arab Saudi sejak 2014 itu, menyalahkan tentera gabungan dipimpin Riyadh di atas kematian bayi kembar itu selepas enggan membuka lapangan terbang Sanaa bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan,” demikian menurut kenyataan media pemberontak Sabtu lalu.

Lewat Rabu lalu, ketua Pusat Bantuan Putera Salman Arab Saudi, Abdullah al-Rabeeah, berkata beliau mempunyai pasukan yang bersedia untuk merawat mereka.

Perkhidmatan kesihatan lumpuh apabila konflik di Yaman meruncing dan kebanyakan hospital tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk menyediakan rawatan pakar bagi keadaan kesihatan yang jarang berlaku.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) sejak 2015, hampir 10,000 orang terbunuh dan lebih daripada 60,000 tercedera akibat konflik itu, kebanyakannya orang awam. - Agensi

843 dibaca
Berita Harian X