Ahad, 3 Februari 2019 | 8:24am
Peluru berpandu pelayaran baru Iran Hoveizeh dipamerkan semasa ketika perayaan meraikan ulang tahun Revolusi Islam pada 1979 di ibu negara Tehran. - Foto AFP

Iran pamer peluru berpandu jarak jauh terbaru

DUBAI: Iran mempamerkan peluru berpandu terbarunya dengan jarak 1,300 kilometer semalam ketika perayaan meraikan ulang tahun Revolusi Islam pada 1979.

Negara itu meluaskan program peluru berpandu, terutama peluru berpandu balistik, dalam bantahan kepada tentangan Amerika Syarikat dan kebimbangan oleh negara Eropah.

Tehra berkata, program itu bertujuan pertahanan semata-mata.

Lewat semalam, komander kanan Pengawal Revolusi menyatakan bahawa tekanan oleh negara Eropah untuk berunding bagi membendung perkembangan peluru berpandu balistik Iran akan menyebabkan Tehran meluaskan usaha itu melepasi had sedia ada.

Bercakap ketika upacara pendedahan itu, Menteri Pertahanan Iran, Amir Hatami, berkata: “Peluru berpandu ini memerlukan jangka amat singkat untuk bersedia dan boleh terbang pada ketinggian rendah.”


Pameran peralatan senjata dan ketenteraan di Tehran, Iran yang diadakan sempena ulang tahun ke-40 revolusi Iran. - Foto EPA

Peluru berpandu yang dinamakan Hoveizeh itu adalah daripada keluarga peluru berpandu Soumar, yang dimasukkan Iran ke dalam senarai pertahanannya pada 2015, kata Hatami.

Pakar Barat berkata, Iran kerap bercerita besar mengenai kemampuan senjatanya, walaupun ada kebimbangan mengenai peluru berpandu jarak jauh negara itu.

Laman web Kementerian Pertahanan menyiarkan video tanpa tarikh menunjukkan Hoveizeh diuji daripada pelancar bergerak.

Ia memetik Hatami sebagai berkata peluru berpandu itu berjaya mensasarkan sasaran pada jarak 1,200 kilometer. — Reuters

1274 dibaca
Berita Harian X