Selasa, 29 Januari 2019 | 7:18pm
WARTAWAN Arab Saudi, Jamal Khashoggi. - Foto AFP

Laporan pembunuhan Khashoggi dibentang Mei

ISTANBUL: Pakar perundangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditugaskan menyiasat pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, akan membentangkan laporannya menjelang akhir Mei ini.

Agnes Callamard, wakil khas PBB mengenai penghakiman di luar batas, melakukan pemeriksaan di luar konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Khashoggi dibunuh pada 2 Oktober lalu di konsulat oleh skuad pembunuhan Arab Saudi yang dikatakan Ankara dihantar dari Riyadh untuk pembunuhan itu.

Bercakap kepada wartawan di luar misi, Callamard berkata laporannya akan disiarkan kepada umum pada sesi Jun majlis hak asasi manusia PBB.

“Laporan akan disiarkan kepada umum beberapa minggu sebelum saya membentangkannya kepada majlis hak asasi manusia di Geneva, kemungkinan akhir Mei,” katanya.

Callamard, pakar bebas yang dilantik PBB, semalam bertemu Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, dan Menteri Kehakiman, Abdulhamit Gul di Ankara sebelum mengunjungi Istanbul.

Beliau dijadualkan bertemu lewat hari ini dengan ketua pendakwa raya Istanbul, Irfan Fidan.

Riyadh, selepas menafikan pembunuhan selama dua minggu, akhirnya menyifatkan ia sebagai operasi ‘jahat’ dan menahan beberapa pegawai kanan Arab Saudi.

Namun pembunuhan itu menjadikan negara berkenaan berhadapan antara krisis diplomatik terburuknya.

Hampir empat bulan selepas pembunuhan itu, mayat Khashoggi masih belum ditemui.

Callamard berkata, pasukannya menghubungi pihak berkuasa Arab Saudi untuk mendapatkan akses bagi melakukan pemeriksaan di dalam konsulat.

“Kami masih menunggu jawapan mereka,” katanya. — AFP

Berita Harian X