Selasa, 22 Januari 2019 | 5:40pm
Gambar fail menunjukkan orang ramai membuat bantahan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Turki di luar Kedutaan Arab Saudi di London, Oktober lalu. -Foto Reuters

Turki cadang siasatan antarabangsa pembunuhan Khashoggi

ANKARA: Turki bercadang melancarkan satu siasatan antarabangsa terhadap pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi dan akan mengambil langkah seterusnya beberapa hari lagi, Menteri Luarnya Mevlut Cavusoglu dipetik sebagai berkata oleh media kerajaan.

Khashoggi, pernah berkhidmat dengan keluarga diraja sebelum menjadi pengkritik Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman serta menulis untuk akhbar Washington Post selepas berpindah ke Amerika Syarikat (AS), dibunuh dalam konsulat negara itu 2 Oktober lalu.

Selepas membuat pelbagai kenyataan bercanggah mengenai nasib Khashoggi, Riyadh berkata, beliau dibunuh dan tubuhnya dikerat apabila rundingan memujuknya kembali ke Arab Saudi, gagal.

Turki sebelum ini berkata, ia berpakat dengan negara lain berhubung siasatan Khashoggi dan menuduh Arab Saudi enggan bekerja sama untuk cuba mendedahkan pembunuhan wartawan itu.

Cavusoglu dalam ucapannya berkata, sesetengah negara Barat cuba menutup pembunuhan Khashoggi, menambah, Turki membuat persediaan melancarkan siasatan antarabangsa berhubung perkara itu, lapor agensi berita kerajaan, Anadolu semalam.

“Ada negara Barat cuba menutup kes ini. Saya tahu alasannya. Kami tahu dan melihat apa perjanjian yang mereka buat. Kita lihat bagaimana mereka yang bercakap mengenai kebebasan media kini menutup perkara ini selepas melihat wang.

“Kami, bagaimanapun akan berjuang sehingga ke saat akhir. Kami membuat persediaan untuk satu siasatan antarabangsa beberapa hari lagi dan kami akan mengambil langkah perlu,” Anadolu memetik Cavusoglu sebagai berkata.

Walaupun satu siasatan bersama dengan pihak berkuasa Arab Saudi menyiasat konsulat di Istanbul, kediaman konsul dan beberapa lokasi lain, di mana mayat Khashoggi masih tidak diketahui.

Presiden Turki Tayyip Erdogan berkata, pembunuhan Khashoggi diarahkan peringkat tertinggi kepimpinan Arab Saudi, namun Riyadh menolak tuduhan Mohammed terbabit.


Putin (kanan) dan Erdogan berjabat tangan selepas sidang media bersama di Kremlin, Moscow, semalam. -Foto EPA

Pendakwa raya Arab Saudi menuntut hukuman mati terhadap lima daripada 11 suspek ditahan atas pembunuhan itu, yang mencetuskan kemarahan antarabangsa serta merosakkan reputasi putera raja berusia 33 tahun itu.

Arab Saudi berdepan tekanan meningkat antarabangsa berhubung pembunuhan Khashoggi, termasuk dari AS, sekutu rapatnya, yang mana diundi Senat untuk resolusi menyalahkan Mohammed atas pembunuhan terbabit. -Reuters

Berita Harian X