Selasa, 22 Januari 2019 | 1:07am
ULAMA terkenal Arab Saudi, Ahmed al-Amari meninggal dunia dalam tahanan selepas mengalami pendarahan otak. - Foto PressTV

Ulama Arab Saudi meninggal dunia dalam tahanan

DUBAI: Ulama terkenal Arab Saudi meninggal dunia selepas lima bulan berada dalam tahanan, kata keluarga dan aktivisi, di tengah peningkatan kritikan ke atas rekod hak asasi manusia negara itu susulan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Ahmed al-Amari, yang sebelum ini berkhidmat sebagai dekan Universiti Islam di Madinah, dipindahkan ke hospital kerajaan awal bulan ini selepas mengalami pendarahan otak, kata kumpulan hak ALQST yang beribu pejabat di London dan aktivis lewat kelmarin.

Anak lelaki Amari, Abdullah, mengesahkan kematian bapanya menerusi Twitter dan berkata solat jenazah dilakukan tengah hari semalam.

Amari ditangkap Ogos lalu apabila pasukan keselamatan menyerbu rumahnya dan dikurung berasingan, menurut aktivis.

Beliau dan beberapa tahanan lain pada masa sama dipercayai rapat dengan ulama berpengaruh, Safar al-Hawali, yang ditahan pada Julai 2018 selepas menerbitkan buku mengkritik keluarga diraja Arab Saudi.

Arab Saudi melancarkan gerakan menekan pembangkang, termasuk menangkap dan dakwaan mendera aktivis wanita selain intelektual liberal dan aktivis Islam, ketika Putera Mahkota Mohammed bin Salman menggubal beberapa pembaharuan sosial dan ekonomi berprofil tinggi. - Reuters

4159 dibaca
Berita Harian X