Ahad, 13 Januari 2019 | 1:27pm
Abbas ketika ulang tahun ke-54 pengasasan Fatah di Ramallah 31 Disember lalu. -Foto Reuters

Abbas cadang kuat kuasa langkah anti-Hamas

RAMALLAH: Perpecahan Palestin selama sedekad lamanya dilihat semakin mendalam beberapa bulan akan datang apabila Presiden Mahmoud Abbas bersedia mengambil pelbagai langkah memberi tekanan ke atas pentadbir Gaza, Hamas.

Tindakan itu meningkatkan kebimbangan menambah lagi kesengsaraan terhadap dua juta penduduk Gaza, sedia teruk di bawah sekatan Israel dan berdepan pemotongan bekalan elektrik, sementara Hamas mungkin memperbaharui tentangannya terhadap Israel.

Penganalisis berkata, langkah itu juga melebarkan lagi jurang antara Gaza dikendalikan Hamas dan Tebing Barat diduduki, di mana kerajaan Abbas mempunyai kuasa terhad.

Hamas dan parti Fatah pimpinan Abbas sekian lama menemui jalan buntu sejak pemimpin Islam itu merampas kawalan Gaza daripada beliau pada 2007, setahun selepas memenangi pilihan raya parlimen.

Hamas sejak itu berperang tiga peperangan dengan Israel dan kebimbangan perang keempat bakal meletus kekal.

Pelbagai cubaan penyatuan antara kedua-duanya dibuat namun gagal walaupun Mesir dianggap berjaya mencapai kemajuan akhir 2017 apabila kedua-dua pihak bersetuju berkongsi kuasa.

Sebagai sebahagian perjanjian itu, Hamas berundur dari lintasan sempadan antara Gaza, Mesir dan Israel, membolehkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dikuasai Fatah kembali dan sempadan Mesir dibuka dengan kerap.

Namun perjanjian penyatuan sejak itu runtuh. Ahad lalu, PA mengumumkan ia berundur dari lintasan sempadan Mesir, mencetuskan dilema buat Kaherah sama ada mahu membukanya dengan kawalan Hamas. Setakat ini, mereka memberi bayangan akan berbuat demikian.

Pegawai kanan rapat dengan Abbas berkata, beliau sedang mencari langkah lain menghukum Hamas.

Antaranya, mengeluarkan kakitangan daripada lintasan antara Israel dan Gaza, menjadikannya sukar buat negara Yahudi itu membenarkan apa juga masuk ke dalam wilayah berkenaan tanpa berurusan secara langsung dengan Hamas, yang dilabel banyak negara sebagai pertubuhan pengganas.

Ia juga termasuk memotong gaji keluarga tahanan Hamas atau membatalkan pasport Palestin kepada kakitangan pentadbir Islam itu.

Abbas juga berikrar untuk membubarkan parlimen Palestin dikuasai Hamas, yang walaupun tidak pernah bersidang sejak perpecahan 2007, masih asas untuk perundangan baharu.

“Keputusan amat penting menentang Hamas sedang dibincangkan,” kata seorang pegawai kanan. Perbincangan itu termasuk isu tangkapan sekutu Fatah di Gaza.

Pegawai berkata, PA membelanjakan kira-kira AS$100 juta (RM409.45 juta) sebulan di Gaza, termasuk untuk subsidi elektrik dan berhasrat mengurangkannya secara ketara. -AFP

Berita Harian X