Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:40am
Sekurang-kurangnya 145 kanak-kanak diberikan vaksin polio yang sudah tamat tempoh di Jiangsu, China. - Foto hiasan/AFP

145 kanak-kanak diberi vaksin polio tamat tempoh

SHANGHAI: Sekurang-kurangnya 145 kanak-kanak diberikan vaksin polio yang sudah tamat tempoh di timur China, lapor media, walaupun kerajaan berjanji untuk menghalang kejadian itu berulang susulan skandal besar-besaran tahun lalu.

Berikutan itu, 13 pegawai kesihatan daerah di Jiangsu dipecat sejak kes berkenaan terbongkar awal minggu ini, terbaru yang menimbulkan kebimbangan, kata kerajaan tempatan Jinhu lewat semalam menurut stesen penyiar CCTV.

Sementara tiga lagi pegawai kesihatan daerah disiasat dan dakwaan sudah difailkan terhadap seorang pegawai tempatan.

Ibu bapa mendapati minggu ini bahawa kumpulan vaksin polio secara oral diberikan kepada anak mereka di kemudahan kesihatan kerajaan hampir sebulan selepas tarikh luput pada 11 Disember lalu, lapor CCTV kelmarin.

Sejak itu, kerajaan mendapati 145 kanak-kanak menerima vaksin itu antara 11 Disember dan 7 Januari lalu.

Pegawai kesihatan tempatan berkata, vaksin yang sudah tamat tempoh mengurangkan keberkesanan tetapi tidak menyebabkan kesan kesihatan buruk.

Laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, mereka yang diberi vaksin tamat tempoh ‘tidak akan jatuh sakit sebagai reaksi kepada penerimaan vaksin itu’ tetapi memberi amaran mereka tidak imun sepenuhnya. — AFP

412 dibaca
Berita Harian X