Sabtu, 12 Januari 2019 | 12:44am
Penduduk Palestin ketika demonstrasi di sempadan Gaza. - Foto AFP

Wanita 44 tahun mangsa terbaharu peluru Israel

GAZA: Tentera Israel menembak mati seorang wanita Palestin ketika bantahan di sempadan Gaza semalam, kata pasukan perubatan, dan tentera berkata ia bertindak sebagai membalas serangan bom tangan dan batu serta menceroboh sempadan.

Wanita berusia 44 tahun itu terkorban semalam kerana ditembak di kepala, kata pasukan perubatan Gaza.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra, berkata 25 lagi penduduk Palestin cedera ditembak tentera rejim Zionis ketika bantahan besar-besaran, kejadian setiap minggu sepanjang sempadan sejak 30 Mac lalu.

Jurucakap tentera Israel berkata, anggota berhadapan 13,000 penduduk Palestin, sebahagiannya membaling batu dan bom tangan melepasi sempadan yang dipagar.

Kementerian Kesihatan Gaza, yang ditadbir Hamas, berkata lebih 220 penduduk Palestin dibunuh tentera rejim itu dalam bantahan, bertujuan memberi penekanan ditamatkan kepungan Israel ke atas wilayah itu. — Reuters

135 dibaca
Berita Harian X