Jumaat, 11 Januari 2019 | 4:33pm
Rahaf Mohammed al-Qunun. - Foto Reuters

Remaja Arab Saudi cetus tuntutan hapus sistem wali

RIYADH: Remaja perempuan Arab Saudi yang melarikan diri kerana mendakwa didera keluarga mencetuskan bantahan terhadap sistem lelaki sebagai penjaga atau wali.

Malah, sistem itu menjadi kekangan utama kepada wanita di negara Islam Konservatif itu sedangkan pada masa sama ia cuba mengamalkan dasar terbuka.

“Hapus sistem pewalian dan kami semua tidak akan berhijrah” menjadi tulisan mesej aliran utama di Twitter, di Arab Saudi.

Seorang doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Mai, 36, berkata beliau malu mempunyai dua orang anak dan ijazah dari Universiti Harvard tetapi masih dianggap sebagai ‘anak kecil’.

“Saya diberi kepercayaan membuat keputusan hidup atau mati untuk pesakit, membesarkan anak-anak tetapi tidak diberi kepercayaan untuk membuat keputusan hidup sendiri. Ironinya! #EndMaleGuardianship (Tamatkanhakpenjagaanlelaki),” tulisnya di Twitter.

Sehubungan itu, kisah Rahaf Mohammed al-Qunun yang melarikan diri daripada keluarganya pada hujung minggu lalu ketika bercuti di Kuwait, mengimbas kembali beberapa kes wanita Arab lain yang melarikan diri tetapi dipaksa kembali ke negara asal dan sesudah itu tidak pernah kedengaran kisah mereka lagi.

Susulan tindakan al-Qunun, menyebabkan dia juga berdepan serangan di media sosial kerana dianggap memalukan keluarga dan Islam, menonjolkan keadaan yang tidak seimbang yang perlu ditangani Putera Mahkota Mohammed Salman dalam usaha mengubah rakyat Arab Saudi tanpa mencacatkan kestabilannya.

Pada masa sama Putera Salman sudah memberi beberapa kebebasan antaranya, larangan memandu kepada wanita Arab Saudi, melonggarkan percampuran jantina dan menjadi wira kerana membenarkan wanita menyertai pasukan tentera.

Bagaimanapun, perubahan itu disertai oleh tindakan keras terhadap penentang, termasuk penahanan dan hukuman terhadap beberapa aktivis yang berkempen selama beberapa dekad untuk memperjuangkan hak wanita - serta tentangan daripada ulama Islam yang menentang perjuangan mereka.

Ramai aktivis menuntut agar sistem perwalian ditamatkan, yang kononnya cuba dihapuskan secara perlahan bertahun-tahun lamanya tetapi masih tetap berkuat kuasa. - Reuters

Berita Harian X