Isnin, 7 Januari 2019 | 7:21am
Seorang askar Mesir memantau lintasan sempadan Rafah yang ditutup, terletak antara selatan Semenanjung Gaza dan Mesir, November lalu. -Foto Reuters

PA tarik balik kakitangan di Rafah

BANDAR GAZA: Pihak Berkuasa Palestin (PA) berkata semalam, ia mengundurkan kakitangannya dari pos sempadan dengan Mesir di Rafah, terletak di selatan Semenanjung Gaza bagi membantah ‘amalan kejam’ oleh lawannya Hamas.

“Keputusan itu dibuat berikutan perkembangan terbaharu dan amalan kejam di Semenanjung Gaza,” kata bahagian hal ehwal awam PA dalam satu kenyataan, dipetik agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Fatah menuduh Hamas ‘memanggil, menahan dan mendera kakitangannya,’ menyebabkannya merumuskan kehadiran mereka sia-sia, kata kenyataan itu.

Pergerakan Islam Hamas merampas kawalan di Gaza pada 2007 dalam peperangan dengan parti pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, Fatah.

Namun PA mengambil alih kawalan di Rafah pada November 2017 sebagai sebahagian perjanjian yang menyaksikan Mesir membuka semula sempadan yang ditutup sepenuhnya bermula Ogos tahun sama, ditutup selama bertahun sebelum itu.

“Sejak kami mengambil alih lintasan sempadan Rafah, Hamas menghalang tugas kru kami di sama,” kata kenyataan itu.

Ia berkata, Mesir menjadikan pembukaan semula Rafah, satu-satunya lintasan darat dari Semenanjung Gaza ke wilayah bukan Palestin melepasi dua pos Israel, disyaratkan kepada PA untuk menguruskannya.

Seorang jurucakap Hamas berkata, keputusan PA berundur, ‘adalah langkah baharu oleh Mahmoud Abbas dalam memisahkan Tebing Barat dari Semenanjung Gaza.’

PA berpusat di Ramallah dan hanya mentadbir sebahagian Tebing Barat dijajah Israel, yang dipisahkan daripada Semenanjung Gaza oleh wilayah Israel diiktiraf antarabangsa.

Akhir Disember lalu, seorang jurucakap Fatah menuduh Hamas menjalankan penahanan besar-besaran anggotanya di Semenanjung Gaza namun dinafikan pentadbir Gaza itu.

Beberapa cubaan menyatukan Fatah dan Hamas gagal sejak bertahun lalu. -AFP

Berita Harian X