Jumaat, 9 November 2018 | 2:31pm
Seorang daripada anggota BTS dikatakan memakai baju-t yang mencetuskan kemarahan di media sosial dan ditafsirkan sebagai memperingati pengeboman bom atom di Hiroshima. -Foto Agensi

TV Jepun batal kemunculan BTS isu baju-t

TOKYO: Sebuah stesen televisyen Jepun berkata, ia membatalkan rancangan membabitkan kumpulan pemuzik Korea Selatan, BTS selepas berita seorang daripada anggotanya memakai baju-t yang mencetuskan kemarahan di media sosial dan ditafsirkan sebagai memperingati pengeboman bom atom di Hiroshima.

Jelajah kumpulan K-pop amat terkenal itu, adalah yang pertama selepas mengunggili carta album teratas Billboard 200 Mei lalu, ketika hubungan antara dua negara tegang berikutan pertelingkahan diplomatik terhadap isu rakyat Korea Selatan dipaksa bekerja untuk firma Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Media sosial menunjukkan gambar baju-t itu, yang memaparkan perkataan ‘Patriotisme Kami Sejarah Pembebasan Korea’ bersama gambar awan cendawan yang berkembang.

Jepun menjadi negara pertama menderita akibat serangan bom atom 9 Ogos 1945 di Hiroshima.

“Kami melihat berita yang memaparkan baju-t dipakai seorang anggota mencetuskan kemarahan dan selepas bertanyakan syarikat rekod mengenainya, kami membuat keputusan menangguhkan kemunculan mereka dalam rancangan kami 9 November ini,” kata rangkaian TV Asahi di laman webnya.

Sebuah laman peminat BTS Jepun juga mengumumkan kemunculan mereka ditangguhkan bersama satu permohonan maaf kepada peminat yang menantikan rancangan itu.

Tiada isu pembatalan jelajah Jepun mereka yang bermula 13 November ini.

BTS diwujudkan sejak 2013 dan meraih peminat di seluruh dunia dengan Mei lalu menjadi penghibur pertama K-pop mengungguli carta Billboard 200 menerusi album ‘Love Yourself:Tear.’

Jelajah 2018 mereka sebelum ini termasuk New York dan London. -Reuters

1390 dibaca
Berita Harian X