Sabtu, 27 Oktober 2018 | 8:28pm
ADEL al-Jubeir - Foto Reuters

Pembunuh Khashoggi akan didakwa di Arab Saudi

MANAMA: Arab Saudi akan mendakwa suspek pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, kata Menteri Luar, Adel al-Jubeir, hari ini dalam reaksi kepada desakan Turki supaya mereka diekstradisi.

“Berhubung isu ekstradisi, mereka ialah rakyat Arab Saudi.

“Mereka ditahan di Arab Saudi dan siasatan juga dijalankan di negara kami. Mereka akan didakwa di Arab Saudi,” katanya pada forum pertahanan serantau di ibu kota Bahrain.

Kenyataan al-Jubeir dibuat sehari selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan menggesa ekstradisi 18 rakyat Arab Saudi yang dikatakan pihak berkuasa terbabit dalam pembunuhan Khashoggi, pengkritik lantang kerajaan dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul awal bulan ini.

Selepas menafikan mengetahui di mana Khashoggi berada selama hampir tiga minggu, Riyadh mengaku pembunuhan wartawan itu adalah ‘dirancang’ tetapi menafikan pembabitan Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MbS).

“Kami akan mengatasinya. Isu ini, seperti yang saya katakan, sedang disiasat.

“Kita akan mengetahui kebenaran. Mereka yang terbabit akan bertanggungjawab.

“Kami meletakkan mekanisme untuk memastikan ia tidak berulang,” katanya.

Khashoggi berbalah dengan keluarga diraja Arab Saudi selepas MbS dinamakan sebagai pewaris takhta tahun lalu.

Khashoggi kali terakhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu untuk melengkapkan dokumen bagi perkahwinannya dengan wanita Turki, Hatije Cengiz. — AFP

Berita Harian X