Rabu, 24 Oktober 2018 | 7:57am
PENDUDUK Palestin telah mengadakan tunjuk perasaan di sepanjang sempadan sejak 30 Mac lalu bagi menuntut rejim itu menghentikan sekatan di wilayah berkenaan. - Foto AFP

Remaja Palestin maut ditembak di kepala

GAZA : Seorang pemuda Palestin maut ditembak tentera rejim Zionis manakala tujuh lagi cedera dalam satu tunjuk perasaan di sempadan Gaza.

Jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra berkata, remaja berusia 17 tahun dikenali sebagai Muntaser al-Baz itu meninggal dunia di hospital selepas ditembak di bahagian kepala oleh pasukan tentera Israel.

Jurucakap tentera Israel berkata, sekumpulan anggota tentera diserang di bahagian sempadan dan terpaksa menggunakan kekerasan serta senjata api untuk mempertahankan diri.

Menurutnya, seorang penduduk Palestin bertindak merempuh pagar dan cuba melempar bahan peletup ke arah pasukan itu sebelum ditembak.

Penduduk Palestin telah mengadakan tunjuk perasaan di sepanjang sempadan sejak 30 Mac lalu bagi menuntut rejim itu menghentikan sekatan di wilayah berkenaan, sekali gus mengembalikan hak untuk mereka pulang ke kampung halaman masing-masing yang diceroboh Israel pada tahun 1948.

Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan Palestin, 208 penduduk Gaza telah terbunuh sejak tunjuk perasaan itu bermula manakala seorang anggota tentera Zionis maut ditembak penembak tepat Palestin. - Reuters

15 dibaca
Berita Harian X