Rabu, 24 Oktober 2018 | 12:32am
JUMPEI Yasuda sudah dibebaskan. - Foto Reuters

Al-Qaeda bebas wartawan Jepun yang diculik

TOKYO: Lelaki dipercayai seorang wartawan bebas Jepun yang diculik di Syria, tiga tahun lalu, sudah dibebaskan, kata jurucakap kerajaan negara itu, semalam.

“Kami menerima maklumat daripada Qatar bahawa Jumpei Yasuda sudah dibebaskan. Kami dimaklumkan bahawa beliau kini berada di kemudahan imigresen di Antakya di Turki,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga.

Katanya, kerajaan sedang memastikan bahawa beliau benar-benar Yasuda. Namun, katanya, berdasarkan maklumat yang ada, kemungkinan besar beliau adalah Yasuda sambil menambah isteri beliau sudah dimaklumkan.

Media Jepun melaporkan bahawa Yasuda, 44, ditangkap cabang kumpulan Al-Qaeda, selepas masuk ke Syria dari Turki pada 2015.

Sejak itu, beliau kadang-kadang tampil dalam video internet dalam keadaan semakin tidak terurus dengan rambut kian beruban. - Reuters

Berita Harian X