Sabtu, 13 Oktober 2018 | 1:25am
PENDUDUK Palestin membawa lelaki cedera akibat tembakan tentera Israel di sepanjang sempadan Gaza dan Israel, semalam. - Foto AFP

5 penduduk Palestin dibunuh Israel

GAZA: Lima penduduk Palestin terbunuh dalam keganasan terbaharu di sepanjang sempadan Gaza dan Israel, semalam, kata Kementerian Kesihatan wilayah dikuasai Hamas.

Kementerian tidak menamakan mangsa, namun berkata, mereka terbunuh, ketika ribuan penunjuk perasaan menghampiri sempadan Israel.

Empat penduduk Palestin terbunuh di sepanjang sempadan di timur Al-Bureij di pusat Semenanjung Gaza, sementara seorang lagi maut di Bandaraya Gaza, kata jurucakap kementerian.

Tentera Israel berkata, kira-kira 14,000 penunjuk perasaan berkumpul di beberapa lokasi di sepanjang sempadan.

Sekurang-kurangnya 203 penduduk Palestin terbunuh akibat tembakan Israel di Gaza, sejak tunjuk perasaan bermula, 30 Mac lalu.

Kebanyakan daripada mereka terbunuh ketika tunjuk perasaan di sempadan, namun ada juga yang maut akibat serangan udara dan tembakan kereta kebal. Hanya seorang tentera Israel maut. - AFP

18 dibaca
Berita Harian X