Sabtu, 25 Ogos 2018 | 12:48am

Mangsa banjir Kerala waspada dipatuk ular

NEW DELHI: Hospital di kawasan yang dilanda banjir teruk di Kerala, India diarah menyediakan ubat anti-venom manakala mangsa yang pulang ke rumah diberitahu supaya lebih berwaspada dengan ular berbisa ketika air naik.

Laporan media awam memberi peringatan bahawa reptilia berkenaan mungkin bersembunyi dalam almari atau bawah permaidani, pakaian dan mesin basuh di rumah yang sebelum ini ditenggelami air akibat banjir.

“Ular dikesan di rumah yang dilanda banjir dan peringatan sudah diberi supaya mereka berhati-hati ketika pulang ke rumah,” kata jurucakap kerajaan, Subhash TV memberitahu AFP, hari ini.

“Hospital sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi ini. Arahan sudah diberi untuk mengatur kemudahan bagi merawat mangsa yang dipatuk ular.

“Anti-venom dan ubat-ubatan lain perlu disimpan di semua hospital, terutamanya di kawasan yang terjejas dilanda banjir,” tambahnya.

Media awam berkata beberapa hospital di kawasan dilanda banjir di utara dan tengah Kerala sudah melaporkan peningkatan pesakit yang mendapatkan rawatan akibat dipatuk ular. - AFP

Berita Harian X