Khamis, 23 Ogos 2018 | 7:23pm

Pemimpin Kerala marah India tolak RM400j dari UAE

KOCHI: Pemimpin dari negeri Kerala yang dilanda masalah banjir menyuarakan rasa marah ke atas kerajaan India yang bertindak menolak bantuan AS$100 juta (kira-kira RM400 juta) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika ramai lagi mangsa bencana itu memasuki kem pemulihan mencari perlindungan.

Kerajaan New Delhi menambah lagi kemarahan pentadbiran Kerala apabila menolak bantuan kewangan daripada negara kaya dari Teluk itu.

Menteri kewangan Kerala, Thomas Isaac membidas dasar kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi yang enggan terima dana besar itu.

Beliau beranggapan jika kerajaan pusat mengambil satu pendirian negatif ke atas tawaran UAE bererti mereka harus membayar pampasan itu kepada rakyat Kerala yang terbabit dalam bencana besar itu.

Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan menggesa kerajaan India mengadakan perbincangan peringkat tertinggi mengenai pertikaian itu dengan pihak terbabit.

Dilaporkan, kira-kira tiga juta warga India kini menetap di UAE, kebanyakan dari Kerala yang memiliki penduduk Muslim yang tinggi.

Kerajaan New Delhi mempertahankan mereka akan menggunakan usaha serta saluran tempatan membantu mangsa banjir dan tidak akan menerima wang daripada kerajaan asing. - AFP

Berita Harian X