Ahad, 19 Ogos 2018 | 8:13pm

Iran lancar jet pejuang baharu

TEHRAN: Iran akan melancarkan sebuah jet pejuang baharu, minggu ini dan menaik taraf pertahanan peluru berpandunya untuk menangani ancaman dari Israel dan Amerika Syarikat (AS), kata agensi berita Tasnim, hari ini memetik menteri pertahanan.

“Keutamaan pertama kami adalah kemampuan peluru berpandu dan kita mesti mempertingkatkannya kerana usaha musuh dalam aspek pertahanan peluru berpandu,” kata Amir Hatami dalam temu bual di televisyen, lewat semalam.

Beliau menambah, sebuah jet pejuang baharu akan diterbangkan pada Hari Industri Pertahanan Nasional, pada Rabu depan.

Hatami berkata, program pertahanan Iran dilaksanakan ekoran memori buruk serangan peluru berpandu yang dialaminya, ketika perang lapan tahun dengan Iraq pada 1980-an.

Selain itu, ancaman Israel dan AS yang tidak menolak semua pilihan tindakan dalam berdepan Republik Islam terbabit.

“Kami sudah belajar dalam perang Iran dan Iraq bahawa kita tidak boleh bergantung kepada sesiapa kecuali diri sendiri. Kami melihat apabila kita tidak mampu, orang lain tidak akan mempunyai belas kasihan.

“Sumber kami terhad dan kami komited memastikan keselamatan dengan kos paling minimum. Kami menaik taraf peluru berpandu berdasarkan ancaman dan tindakan musuh kami.

“Ia bertindak sebagai pencegahan dan untuk memberikan kesan teruk kepada musuh,” katanya lagi. - AFP

50 dibaca
Berita Harian X