Selasa, 14 Ogos 2018 | 4:58pm
TRAK tentera Iran membawa peluru berpandu pada perarakan Hari Tentera di Tehran pada April lalu. - Foto fail AFP

Iran dedah peluru berpandu generasi akan datang

TEHRAN: Iran mendedahkan peluru berpandu balistik jarak dekat generasi akan datang semalam dan berikrar meningkatkan keupayaannya, kata media tempatan, ketika ketegangan semakin meningkat dengan Amerika Syarikat (AS).

Penyiar tempatan, IRIB berkata, peluru berpandu baharu Fateh Mobin itu berjaya ‘lulus ujian’ dan mungkin menyasar serangan di darat dan laut.

“Seperti dijanjikan kepada rakyat disayangi, kami tidak akan melepaskan sebarang usaha untuk meningkatkan keupayaan peluru berpandu negara dan sudah pasti meningkatkan kuasa peluru berpandu setiap hari,” kata Menteri Pertahanan, Amir Hatami dipetik agensi berita konservatif, Tasnim.

Jarak peluru berpandu baharu itu tidak diberi, namun versi sebelumnya memiliki jarak sekitar 200 hingga 300 kilometer, menurut Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa berpusat di AS.

Pihak berkuasa AS memberitahu Fox News minggu lalu, sebuah peluru berpandu ‘Fateh-110’ diuji oleh Iran ketika latihan tentera laut di Selat Hormoz minggu lalu.

Seorang jeneral AS menyifatkan latihan itu sebagai isyarat menghantar mesej, susulan ancaman daripada Iran, ia mungkin menutup laluan perkapalan penting minyak sebagai membalas sekatan diperbaharui.

“Tiada apa dapat menghentikan peluru berpandu ini kerana darjah fleksibel yang tinggi,” kata Hatami, menambah versi baharu Fateh Mobin adalah 100 peratus buatan tempatan, kukuh, siluman, taktikal dan dipandu dengan tepat. -AFP

Berita Harian X