Ahad, 12 Ogos 2018 | 10:27pm
Pandangan dari udara keadaan bangunan yang musnah akibat letupan di sebuah depot senjata wilayah utara Idlib menyebabkan 39 maut termasuk 12 kanak-kanak. - Foto AFP

39 maut, letupan depoh senjata di Idlib

BEIRUT: Satu letupan di depoh senjata di bandar ditawan pemberontak di barat laut Syria mengorbankan sekurang-kurangnya 39 orang awam termasuk 12 kanak-kanak hari ini, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Seorang koresponden AFP di tapak kejadian di Sarmada dalam wilayah Idlib berhampiran sempadan Turki berkata, letupan tidak diketahui puncanya menyebabkan dua bangunan runtuh.

Pekerja penyelamat menggunakan jentolak untuk mengeluarkan runtuhan dan mengeluarkan mangsa terperangkap, kata koresponden itu.

Ketua SOHR, Rami Abdel Rahman berkata, angka sebelumnya iaitu 12 orang awam yang terbunuh, meningkat selepas lebih banyak mayat dikeluarkan dari runtuhan.

“Letupan berlaku di sebuah gudang senjata di bangunan kediaman di Sarmada,” kata Abdel Rahman yang mendapat maklumat daripada sumber dalaman Syria menambah punca letupan ‘belum jelas.’

Katanya, majoriti mangsa yang terkorban adalah anggota pejuang daripada Hayat Tahrir al-Sham (HTS), pakatan diketuai sekutu bekas Al-Qaeda, yang hilang tempat tinggal dari kawasan di wilayah tengah Homs.

Seorang pekerja penyelamat membawa mayat seorang kanak-kanak dari runtuhan ke ambulans, kata koresponden itu.

Di sebalik runtuhan, bahagian hadapan bangunan hitam legam akibat kebakaran selepas letupan.

Sumber pertahanan awam memberitahu, wanita dan kanak-kanak antara yang maut.

Katanya, pekerja penyelamat berjaya menarik lima orang masih hidup di sebalik runtuhan.

Kebanyakan kawasan di Idlib dikawal pemberontak dan HTS, namun militan Daesh juga memiliki sel lelap di kawasan itu. -AFP

Berita Harian X