Sabtu, 11 Ogos 2018 | 9:53am

Dua penduduk Palestin maut ditembak Rejim Zionis

GAZA : Dua rakyat Palestin termasuk seorang petugas perubatan maut ditembak tentera Israel di sempadan Gaza, semalam walaupun gencatan senjata berjaya dimeterai antara Hamas dan Israel.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 131 penduduk Palestin ditembak rejim Zionis itu dalam tunjuk perasaan, menyebabkan seorang petugas perubatan, Abdullah al-Qatati terbunuh apabila terkena tembakan di bahagian dada, di Rafah, selatan Gaza.

Kematian beliau diratapi seluruh saudara mara dan keluarga petugas berusia 21 tahun itu yang berkumpul di luar rumah mayat hospital di Khan Yunis.

Turut maut ialah seorang lagi penduduk Palestin, Ali al-Alul, 55 yang juga ditembak rejim Zionis di lokasi sama.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di beberapa lokasi di sepanjang sempadan dengan membakar tayar dan membaling batu tetapi jumlah itu semakin berkurangan.

Pada tunjuk perasaan semalam, sejumlah 307 penduduk tercedera, sebilangannya kerana gas pemedih mata termasuk dua wartawan dan lima petugas perubatan. - AFP

Berita Harian X