Ahad, 22 Julai 2018 | 8:26am

Penduduk bimbang potensi perang baharu meletus di Gaza

BANDAR GAZA: Selepas tujuh jam huru-hara dan keganasan, keadaan tenang kembali ke Semenanjung Gaza.

Namun, orang awam di wilayah terkepung Palestin di Gaza dan Israel masih bimbang potensi perang baharu meletus.

Insiden tembakan maut yang mengorbankan seorang askar rejim Zionis ketika bantahan di sepanjang sempadan kelmarin mencetuskan gelombang meluas pengeboman Israel, dengan tiga pejuang Hamas terbunuh manakala berpuluh sasaran diserang.

Selepas pengantaraan tidak langsung oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Mesir, satu gencatan senjata berkuat kuasa tengah malam, namun penduduk kedua-dua pihak masih berjaga-jaga peringkat tinggi bimbang satu lagi konflik besar-besaran meletus antara Israel dan Hamas.

"Perang sudah bermula. Saya tahu penjajah Israel menjalankan serbuan bagi memberi laluan untuk mewujudkan pangkalan mereka," kata Somaya Rabaya, 21, dari Deir al-Balah di tengah Gaza kepada AFP.

Ketika perjanjian gencatan senjata termasuk menamatkan serangan roket dan mortar, ia tidak memasukkan komitmen Hamas menghentikan apa yang digelar media Israel 'layang-layang ganas', kata sumber kanan Hamas.

Sepanjang berbulan bantahan ganas di sempadan, penduduk muda Palestin di Gaza memasang bom api pada layang-layang dan belon serta menerbangkannya ke sempadan yang sebahagian besarnya tertutup, mencetuskan ratusan kebakaran.

Kawasan tanah di sebelah Israel menyaksikan kerosakan besar akibat kebakaran dicetuskan bom api itu.

Memuncaknya keganasan menyebabkan penduduk Israel berhampiran Gaza berlindung ke dalam pusat perlindungan bom sejak beberapa minggu lalu akibat roket dan mortar dilepaskan pejuang Palestin itu.

Ahli politik Israel mengancam tindak balas lebih tegas ke atas penghantar bom api sejak beberapa hari lalu dengan tentera menyasar sekumpulan lelaki muda di sempadan.

"Pagi ini, mereka mengebom pos pemantau Hamas berhampiran Gaza. Saya bimbang mereka menyasar kami dengan peluru berpandu," kata Wissam, 17, bersama sejumlah remaja lain memasang layang-layang dengan botol kecil diesel sambil berlindung di sebalik benteng pasir.

Kawasan sempadan sebahagian besarnya tenang semalam, namun bantahan dan pertembungan berbulan kembali memuncak kelmarin.

Sekurang-kurangnya 149 penduduk Palestin terbunuh sejak 30 Mac lalu.

"Kami tidak mahu peperangan baharu meletus. Kami sudah letih dan mahu hidup seperti manusia," kata Khaled Barbakh, 22, dari Khan Yunis di selatan Gaza. -AFP

58 dibaca
Berita Harian X