Rabu, 18 Julai 2018 | 7:48am
ZON perikanan dikuatkuasakan Israel di luar Semenanjung Gaza juga dikurangkan daripada enam batu nautika kepada tiga. - Foto EPA
NELAYAN Palestin berkumpul di pelabuhan Gaza di sebelah barat Kota Gaza. - Foto EPA

Gaza semakin terhimpit, Israel ketatkan sekatan

BAITULMAQDIS: Israel mengetatkan sekatannya di Semenanjung Gaza semalam sebahagiannya disebabkan layang-layang membawa bom api untuk membakar tanah pertanian Yahudi ketika kebimbangan meningkat jika peranti asas itu mungkin mencetuskan satu lagi peperangan.

Beberapa hari selepas insiden berbalas tembakan antara Israel dan Hamas di Gaza sejak konflik 2014, Zionis berkata, ia menyekat penghantaran bahan api dan gas sehingga Ahad ini menerusi satu-satunya lintasan barangan ke wilayah terkepung itu.

Zon perikanan dikuatkuasakan Israel di luar Semenanjung Gaza juga dikurangkan daripada enam batu nautika kepada tiga.

Lintasan barangan dikenali sebagai Kerem Shalom, akan terus dibuka untuk membawa makanan dan ubatan berdasarkan kes.

Ia sudah ditutup kepada kebanyakan penghantaran sejak 9 Julai lalu, sebahagiannya sebagai tindak balas terhadap serangan bom api.

Tindakan itu diikuti berbulan ketegangan yang meningkatkan kemungkinan perang keempat antara Israel dan Hamas sejak 2008.

Di sebalik berbalas tembakan dan bom api menggunakan layang-layang, bantahan besar-besaran dan pertembungan di sepanjang Gaza sejak 30 Mac lalu menyaksikan berpuluh penduduk Palestin ditembak mati tentera Zionis.

Hamas, pergerakan Islam yang mentadbir Semenanjung Gaza semakin tertekan dengan penutupan lintasan itu dengan keadaan kemanusiaan di wilayah terkepung dengan dua juta penduduk bertambah buruk.

Satu-satunya lintasan sempadan lain Gaza dengan Mesir, Rafah, juga ditutup semalam, walaupun sumber berkata, ia hanyalah kerana alasan 'teknikal.'

Ia mencetuskan spekulasi bahawa Mesir, yang menjadi pengantara antara Israel dan Hamas, menutupnya bagi menambah tekanan kepada pergerakan Islam itu supaya mengekang penggunaan layang-layang sebagai bom api.

Israel berikrar tindak balas lebih tegas terhadap ratusan layang-layang api dan belon yang diterbangkan penduduk Gaza di pagar sempadan sejak April lalu.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menerima tekanan politik berhubung isu itu, mengarahkan tentera menghalangnya.

Sementara itu, Hamas menyelar penutupan lintasan barangan Israel sebagai 'jenayah ke atas kemanusiaan' dan menuduhnya sengaja memperbesar-besarkan ancaman layang-layang api.

"Penjajahan Israel bermain dengan api jika jet pejuangnya menyasar layang-layang," kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri.

Perkhidmatan bomba Israel berkata, kira-kira 750 kebakaran memusnahkan kira-kira 2,600 hektar tanah, menganggarkan kerugian sebanyak ratusan ribu dolar.

Seorang pensyarah sains politik di Gaza, Prof Jamal al-Fadi bersetuju, Hamas dapat menghentikan bom api itu, namun berkata, pergerakan Islam itu mahu menggunakannya untuk meningkatkan tekanan supaya Israel melonggarkan sekatan.

"Pergerakan Islam itu kini terhad untuk menggunakan tindak balas ketenteraan. Ia tidak berminat melakukan konfrontasi tentera kerana rakyat enggan satu peperangan," kata Fadi. -AFP

Berita Harian X