Sabtu, 7 Julai 2018 | 4:35pm

8 jalani hukuman mati di Iran

TEHRAN: Iran melaksanakan hukuman mati ke atas lapan pesalah berhubung dua serangan yang didakwa dilancarkan Daesh di ibu kota Iran tahun lalu.

Mereka disabitkan bersalah bekerjasama secara langsung dengan Daesh yang melancarkan serangan pada 7 Jun 2017, lapor Mizan Online.

"Mereka menyokong Daesh dari segi kewangan dan mendapatkan senjata, walaupun sudah dimaklumkan mengenai tujuan dan niat kumpulan pengganas itu," kata agensi berkenaan.

Ia tidak menyatakan bila hukuman dijalankan, tetapi agensi berita Tasnim melaporkan ia dilaksanakan hari ini.

Daesh mendakwa bertanggungjawab di atas dua serangan ke atas Parlimen Iran dan makam pemimpin revolusi, Ayatollah Ruhollah Khomeini, yang mengorbankan 17 orang dan mencederakan puluhan lagi.

Serangan itu adalah yang pertama dan satu-satunya didakwa dilakukan Daesh di Tehran.

Iran menjadi sasaran kerana menyokong pihak berkuasa Iraq dan Syria dalam perjuangan menentang Daesh dan kumpulan militan lain. - AFP

19 dibaca
Berita Harian X