Ahad, 17 Jun 2018 | 12:06pm
PENDUDUK Palestin memeriksa kereta yang musnah selepas dibedil dalam serangan udara tentera Israel di kawasan kejiranan al-Shejaeiya, di Semenanjung Gaza. - Foto EPA

Rejim Zionis terus sasar penduduk Palestin

BANDARAYA GAZA: Tentera Israel, semalam mencederakan dua penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang cuba melancarkan belon mudah terbakar menyeberangi sempadan ke Israel.

Jurucakap tentera Israel berkata, 'peranti udara' terbakar ditembak ke arah kumpulan berhampiran sempadan Gaza yang melancarkan 'belon api' membawa bahan mudah terbakar memasuki sempadan Israel.

Sumber keselamatan Palestin berkata, dron melepaskan tembakan ke arah penduduk di timur kem pelarian al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza.

Dua cedera dalam kejadian itu, kata jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra.

Kira-kira 20 kebakaran berlaku semalam disebabkan belon dan layang-layang mudah terbakar yang dilancarkan dari wilayah itu melepasi pagar sempadan dan memasuki Israel, kata jurucakap bomba di selatan Israel, Eli Cohen.

Sejak bantahan sempadan besar-besaran berlaku pada 30 Mac lalu, lebih 300 kebakaran dilaporkan.

Sekurang-kurangnya 130 penduduk Palestin terkorban ditembak rejim Zionis pada tempoh itu.

Rabu lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi mengutuk Israel kerana menggunakan kekerasan melampau ke atas penduduk awam di Gaza, yang dalam kepungan Zionis lebih sedekad. - AFP

Berita Harian X