Sabtu, 9 Jun 2018 | 3:13pm
NARUHITO (kiri) bakal mewarisi takhta Mei tahun depan susulan rancangan turun takhta Maharaja Akihito. - Foto Reuters

Putera Mahkota Jepun rai ulang tahun perkahwinan

TOKYO: Putera Mahkota Jepun meraikan jubli perak perkahwinan baginda dengan berikrar mengekalkan tradisi diraja apabila menggantikan ayahanda baginda tahun depan.

Naruhito bakal mewarisi takhta Mei tahun depan susulan rancangan pelepasan takhta Maharaja Akihito, yang akan turun selepas tiga dekad bersemayam atas takhta keluarga diraja tertua di dunia itu.

Waris takhta berusia 58 tahun itu berikrar menyerahkan jiwa dan raga untuk tugasan diraja dan mengambil kesempatan sempena ulang tahun perkahwinan baginda dengan Puteri Masako untuk mengulangi komitmen terhadap peranan masa depannya sebagai ketua istiadat negara.

"Adalah penting bagi memainkan peranan sebagai Maharaja kerana ia simbol (sebuah negara)," kata Naruhito dalam satu kenyataan sambil menambah beliau akan terus mematuhi tradisi pejabat.

"Ketika saya mencari cara untuk menjadi simbol, saya rasa penting juga untuk mengambil tindakan yang mencerminkan perubahan masyarakat," katanya.

Naruhito berkahwin dengan Masako Owada, anak keluarga diplomatik, pada 1993 dan pada 2001, mereka dikurniakan anak perempuan tunggal.

Masako, 54, berkata baginda akan terus berdoa untuk kebahagiaan rakyat sempena meraikan ulang tahun perkahwinan baginda berdua.

Media tempatan melaporkan, pasangan diraja itu bakal mengadakan majlis rasmi hari ini di Istana Togu, kediaman rasmi mereka. - AFP

Berita Harian X