Khamis, 26 April 2018 | 9:32pm
GAMBAR hiasan.

China guna peluru berpandu nuklear baharu

BEIJING: China hari ini mengesahkan ia sudah mula menggunakan peluru berpandu baharu yang digelar media negara itu sebagai 'pembunuh Guam' kerana kemampuannya menyerang pangkalan Lautan Pasifik Amerika Syarikat (AS) sama ada dengan bom biasa atau bom nuklear.

China sedang giat melaksanakan program pemodenan ketenteraan bercita-cita tinggi termasuk membangunkan pesawat siluman, kapal pengangkut pesawat dan peluru berpandu canggih untuk menjadi tentera kelas dunia menjelang pertengahan kurun ini.

Keadaan itu mewujudkan kebimbangan di rantau berhampiran dan di Washington. Ia diburukkan lagi apabila China mengambil pendekatan agresif menuntut wilayah di Laut China Selatan dan wilayah di sekitar Taiwan sambil menyifatkan semua kawasan itu adalah wilayahnya yang suci.

Dalam ucapan kepada sidang media bulanan, jurucakap Kementerian Pertahanan Wu Qian berkata, tentera sudah mula menggunakan perkhidmatan peluru berpandu balistik jarak sederhana DF-26 yang digelar 'pembunuh Guam' oleh media dan pakar pertahanan.

Wu tidak memberikan banyak maklumat selain senjata itu boleh membawa bom biasa dan bom nuklear serta menyerang sasaran, darat, laut atau udara dengan tepat. - Reuters

309 dibaca
Berita Harian X