Isnin, 23 April 2018 | 4:22pm
Seorang penunjuk perasaan Palestin mendekati kawat berduri di kem protes berhampiran bandar selatan Gaza, semasa demonstrasi yang sedang berlangsung di sempadan Gaza-Israel. - Foto AFP

Angka maut di Gaza kini 40 orang

BANDAR GAZA: Dua penduduk Palestin yang cedera dalam pertembungan dengan Israel diisytiharkan meninggal dunia hari ini, kata seorang pegawai Gaza, menjadikan angka yang maut akibat serangan Zionis sejak 30 Mac lalu kepada 40 orang.

Jurucakap Kementerian Kesihatan dikawal Hamas menamakan mangsa terakhir sebagai Tahrir Wahada, 18, dan Abdullah Shamali, 20.

Wahada ditembak di kepala dalam pertembungan di timur Khan Yunis 6 April lalu manakala Shamali maut akibat kecederaan peluru di perutnya dialami Jumaat lalu, menurut jurucakap Ashraf al-Qudra.


Penunjuk perasaan Palestin membakar tayar berhampiran bandar selatan Gaza, Yunik sebagai sebahagian daripada protes yang sedang berlangsung di sempadan Gaza-Israel. - Foto AFP

Majoriti daripada 40 rakyat Palestin yang dibunuh Israel sejak awal bantahan 'Perarakan Kepulangan' 30 Mac lalu ditembak penembak hendap di sempadan, sementara yang lain maut akibat meriam atau serangan udara tentera Zionis.

Puluhan ribu rakyat Palestin di wilayah terkepung tepi pantai antara Israel, Mesir dan Mediterranean berkumpul di sempadan setiap Jumaat bagi menggesa pelarian Palestin dibenarkan kembali ke rumah mereka yang kini terletak di dalam Israel.


Penunjuk perasaan Palestin melastik batu ke arah pasukan keselamatan Israel berhampiran bandar Gaza Selatan. - Foto AFP

Sesetengah penunjuk perasaan membaling batu atau membakar tayar ke arah tentera Israel namun dibalas dengan tembakan peluru hidup, mencederakan ratusan lain.

Lebih 440 penunjuk perasaan cedera terkena peluru atau menyedut gas Jumaat lalu, kata anggota penyelamat.

Israel dikecam kumpulan hak asasi manusia bersama gesaan siasatan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau Kesatuan Eropah (EU). -AFP

Berita Harian X