Rabu, 11 April 2018 | 11:29pm

News Corp Australia pecat jurugambar, penyunting, kurang kos

SYDNEY: Akhbar tabloid Australia milik Rupert Murdoch memecat majoriti jurugambar dan penyunting dalam satu tindakan radikal pengurangan kos demi memastikan kesinambungan perniagaan akhbar yang terjejas.

Pengarah Pengurusan Editorial, Campbell Reid berkata, penstrukturan semula bilik berita tradisi diperlukan untuk 'mengekalkan akhbar bercetak dan cemerlang dalam digital.'

Akhbar The Daily Telegraph, the Herald Sun dan Courier-Mail dijangka kehilangan berpuluh kakitangan setiap satu, walaupun syarikat tidak mendedahkan jumlah sebenar angka yang diberhentikan.

Pengumuman itu diikuti satu langkah pengurangan kos Disember lalu yang menyaksikan 42 wartawan, artis dan jurugambar diberhentikan dalam cubaan mengurangkan kos A$40 juta (RM120.16 juta) daripada News Corp.

Minggu lalu, Gold Coast Bulletin dimaklumkan, ia terpaksa mengurangkan 10 kakitangan dan sumber berkata, berpuluh lain secara senyap diberhentikan tahun ini.

Dalam satu mesyuarat di ibu pejabatnya di sini, editor The Daily Telegraph, Chris Dore memaklumkan kakitangan, jurugambar akan kehilangan status jawatan tetap namun mungkin diambil semula sebagai kakitangan kasual dan bebas.

Kakitangan akhbar Herald Sun dimaklumkan, News Corp kini 'berjuang untuk hidup.' -Agensi

Berita Harian X