Isnin, 19 March 2018 | 8:00am
KEADAAN rumah yang hangus akibat kebakaran hutan di Cobden. - Foto Reuters

Api makin marak, penduduk digesa berwaspada

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia menggesa rakyat terus berwaspada hari ini apabila kebakaran hutan memusnahkan kediaman, ternakan dan memaksa ratusan penduduk menyelamatkan diri daripada api yang berterusan marak di luar kawalan di tenggara negara itu.

Tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan menjelang pagi ini, tetapi kebakaran menyebabkan kerosakan teruk di pedalaman Victoria dan New South Wales.

Api, dipercayai berpunca daripada petir yang berlaku kelmarin, disemarakkan dengan angin kering ketika suhu mencecah 41 darjah Celsius sepanjang semalam.

Pegawai kecemasan berkata, keadaan sepatutnya surut hari ini tetapi amaran 'lihat dan bertindak' kekal di lima lokasi.

Sehingga 35 rumah dan sebuah sekolah musnah di bandar kecil Tathra di New South Wales, kata pihak berkuasa, yang menyaksikan penduduk melarikan diri ke pantai untuk mengelakkan kebakaran.

Pusat pemindahan didirikan dan beberapa sekolah di kawasan terjejas ditutup hari ini.

Kira-kira 280 anggota bomba bergelut mengawal kebakaran manakala 22,000 rumah ketiadaan bekalan elektrik di wilayah berkenaan selepas angin kencang menyebabkan pokok tumbang, kata Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan, Craig Lapsley lewat semalam. - Reuters

Berita Harian X