Sabtu, 3 March 2018 | 10:26pm

36 mati serangan udara di Syria

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 36 pejuang prokerajaan terbunuh dalam serangan udara pesawat pejuang Turki di Afrin, barat laut Syria, semalam, lapor Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

SOHR berkata, serangan pesawat pejuang Turki di kem Kafr Jina kali ketiga dalam tempoh 48 jam terhadap askar prokerajaan di Afrin.

Tentera Demokratik Syria (SDF), pakatan militia diketuai pejuang YPG Kurdis berkata dalam satu kenyataan, serangan udara Turki menyasarkan kedudukan tentera kerajaan selama lima jam bermula jam 5 pagi waktu tempatan. Ia tidak menyatakan lokasi tepat atau jumlah kematian.

Turki dan sekutu pejuang antikerajaan menyasarkan militia YPG sejak Januari lalu, yang dianggap cabang Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di negaranya yang melancarkan pemberontakan sejak tiga dekad lalu. PKK turut dianggap kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Namun pada masa sama, YPG menjadi sekutu penting AS dalam perang terhadap Daesh di rantau itu. - Reuters

Berita Harian X