Jumaat, 2 March 2018 | 10:29am
Sebahagian bangunan yang musnah di daerah pemberontak Syria Ghouta Timur berikutan serangan udara oleh pasukan pemerintah Syria. - Foto AFP

8 tentera Turki maut, 13 cedera di Syria

ISTANBUL: Lapan tentera Turki terbunuh manakala 13 lagi cedera ketika melancarkan serangan ke atas militan Kurdis di barat laut Syria.

Angka korban yang diumumkan kakitangan tentera Turki dalam dua kenyataan berasingan menjadikan serangan semalam antara paling ramai korban sejak Ankara melancarkan operasi merentas sempadan terhadap Unit Perlindungan Rakyat (YPG) di wilayah Afrin Syria pada 20 Januari lalu.

Angka korban itu menjadikan keseluruhan tentera Turki yang terbunuh sejak melancarkan operasi Olive Branch kepada sekurang-kurangnya 40 orang.


Seorang budak lelaki berjalan berhampiran bangunan yang rosak di bandar Douma di timur Ghouta di Damsyik, Syria. - Foto REUTERS

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu semasa lawatan ke Senegal.

Ankara menganggap YPG sebuah organisasi pengganas yang berkait rapat dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), sebuah kumpulan yang melancarkan perang gerila di Turki sejak 1984.

Bagaimanapun, YPG disokong Amerika Syarikat dan mengetuai perjuangan kumpulan gabungan antarabangsa menentang kumpulan Daesh di Syria. - AFP

Berita Harian X