Ahad, 31 Disember 2017 | 7:09am
KELUARGA Jamal Muslih yang meninggal akibat kecederaannya semasa pertempuran dengan tentera Israel. - Foto Reuters

Korban serangan Israel meningkat 13

GAZA: Seorang penduduk Gaza meninggal dunia semalam selepas cedera ditembak tentera Israel, ketika bantahan di sempadan berhubung pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, oleh Amerika Syarikat.

Jamal Muslih, 20, yang menetap kem pelarian Al-Bureij di tengah Gaza, cedera parah terkena tembakan peluru hidup kelmarin, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra.

Beliau dikebumikan tengah hari semalam.

Kematian Muslih menjadikan angka kematian penduduk Palestin kepada 13 sejak pengumuman Presiden Amerika Syarikat pada 6 Disember lalu.

Sebelas penunjuk perasaan terkorban selepas pertempuran dengan tentera Israel dan dua lagi maut dalam serangan udara rejim ke atas Gaza awal bulan ini.

Lebih daripada 50 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran kelmarin, di sempadan Gaza-Israel sebagai sebahagian 'hari kemarahan' berhubung perisytiharan AS itu, yang didesak Hamas dan pergerakan pejuang Jihad Islam.

Di Tebing Barat, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 16 cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup, ketika demonstrasi manakala yang lain ditembak dengan peluru getah. - AFP

Berita Harian X