Ahad, 24 Disember 2017 | 8:26pm

Angka korban penduduk Palestin meningkat 12

GAZA: Seorang remaja Palestin meninggal dunia hari ini, sembilan hari selepas cedera ditembak tentera Israel ketika tunjuk perasaan di Gaza bagi membantah pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel oleh Amerika Syarikat.

Kematian Mohammad Sami al-Dahduh, 19, yang ditembak 15 Disember lalu menjadikan angka korban dalam kalangan rakyat Palestin meningkat kepada 12, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra.

Sepuluh penunjuk perasaan terkorban selepas bertempur dengan polis Israel, dua daripada mereka kelmarin. Dua lagi maut dalam serangan udara Israel di Gaza awal bulan ini.

Antara penduduk Gaza yang terkorban dalam pertempuran 15 Disember lalu adalah Ibrahim Abu Thurayeh, yang hilang kedua-dua kakinya susulan serangan rejim Zionis itu sedekad lalu.

Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, Abu Thurayeh, 29, ditembak di kepala oleh penembak curi, dengan ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata beliau amat terkejut dengan kematian lelaki itu, menuntut siasatan bebas dan adil. - AFP

Berita Harian X