Khamis, 23 November 2017 | 7:17am
Salah Al-Bardaweel

Pilihan raya umum Palestin akhir 2018

GAZA: Parti politik Palestin, termasuk Hamas dan Fatah, bersetuju mengadakan pilihan raya umum menjelang akhir tahun depan, menurut kenyataan bersama beberapa kumpulan semalam susulan rundingan di Kaherah.

Hamas dan Fatah menandatangani perjanjian damai Oktober lalu dalam rundingan anjuran Mesir selepas Hamas bersetuju menyerahkan pentadbiran di Gaza, termasuk sempadan lintasan Rafah, sedekad selepas merampas wilayah itu dalam perang saudara.

Kumpulan Palestin di Kaherah berkata, mereka menyerahkan pilihan tarikh akhir pilihan raya umum itu kepada Presiden Mahmoud Abbas.

Parti Fatah yang mendapat sokongan Barat hilang kawalan ke atas Gaza kepada Hamas, yang dianggap kumpulan pengganas oleh kebanyakan pihak di Barat dan Israel, dalam peperangan pada 2007.

Namun bulan lalu, Hamas bersetuju menyerahkan kuasa di Gaza kepada Fatah dalam perjanjian anjuran Mesir.

Pegawai Hamas yang terbabit dengan rundingan itu, Salah Al-Bardaweel, menyifatkan perjanjian semalam itu 'masih samar' dan meluahkan kebimbangan ia gagal menyelesaikan isu utama seperti menarik balik sekatan dikenakan Abbas dan membuka sepenuhnya lintasan antara Gaza dan Mesir.

Rundingan juga gagal menyatakan tanggungjawab keselamatan di Gaza, yang setakat ini masih kekal di angan pasukan keselamatan Hamas. - Reuters

Berita Harian X