Rabu, 18 Oktober 2017 | 11:13pm
PEMBINAAN krematorium diraja yang akan digunakan bagi upacara persemadian mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, Selasa depan. - Foto AFP

Thailand bersiap semadi Raja Bhumibol Selasa depan

BANGKOK: Raja Thailand Maha Vajiralongkorn hari ini menyempurnakan fasa akhir pembinaan krematorium diraja, digunakan bagi upacara persemadian ayahandanya, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, Selasa depan.

Pada majlis berkenaan, Vajiralongkorn memberi restu dan mengibarkan Payung Putih Negara Sembilan Lapis, alat kebesaran paling suci dalam monarki Thailand di puncak krematorium mewah itu.

Pusat pembakaran itu, juga tapak bagi istiadat pengebumian diraja dibina di hadapan Istana Agung dalam kawasan lama ibu kota ini.

Golongan artisan bekerja selama 10 bulan untuk membina tapak yang termasuk lapan struktur dihiasi ukiran pelbagai dewa dan dewi, menggambarkan suasana dalam syurga dalam syurga mengikut tradisi diraja Buddha Brahmin Thailand.

Ratusan ribu penduduk memakai pakaian hitam tanda berkabung dijangka berkumpul selama beberapa hari berhampiran istana untuk menyaksikan upacara persemadian lima hari itu.

Ia dianggap upacara selamat tinggal buat mendiang Raja Bhumibol yang sangat disayangi rakyat jelata sejak memerintah Thailand pada 1946 hingga kemangkatannya 13 Oktober 2016.

Menter Luar, Don Pramudwinai berkata, sekurang-kurangnya 30 tetamu kehormat dari luar negara akan menghadiri upacara berkenaan dan jumlah itu dijangka meningkat.

Antara yang sudah mengesahkan kehadiran adalah Raja Bhutan, Raja Jingme Khesar Namgyel Wangchuck; Permaisuri Belanda, Permaisuri Maxima; Permaisuri Belgium, Permaisuri Mathilde; Putera Akishino dari Jepun, Putera Mahkota Norway, Putera Haakon, Gabenor Australia Sir Peter Cosgrove dan Presiden Singapura, Halimah Yacob. -Reuters

Berita Harian X