Selasa, 10 Oktober 2017 | 11:59am
PEJABAT kedutaan Amerika Syarikat di Turki. - Foto AFP

Turki gesa AS kaji semula gantung visa

ANKARA: Turki menggesa Amerika Syarikat (AS) mengkaji semula penggantungan perkhidmatan visa selepas kakitangan konsulat negara itu ditahan.

Ketegangan antara dua negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menjejaskan mata wang Turki dan bursa saham negara itu.

Hubungan antara Ankara dan Washington mula dibelenggu perselisihan selepas AS secara terang-terangan menyokong pemberontak Kurdis di Syria, permintaan untuk membawa pulang ulama Turki, Fethullah Gulen yang berpangkalan di AS tidak diendahkan dan pendakwaan terhadap bekas menteri Turki di mahkamah AS.

Bagaimanapun minggu lalu penahanan kakitangan konsulat AS di Istanbul memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Ankara mendakwa kakitangan terbabit mempunyai hubungan dengan Gulen yang dituduh menjadi dalang kepada rampasan kuasa gagal pada Julai 2016.

Gulen menolak sekeras-kerasnya mempunyai hubungan dengan rampasan kuasa itu.

Dakwaan Ankara itu mendapat kutukan kedutaan AS dan menganggap ia sebagai tidak berasas. Susulan itu perkhidmatan visa bukan pendatang Turki digantung serta merta.

Tindakan Washington itu serta-merta di balas Ankara yang turut membuat pengumuman terhadap warga AS yang cuba mendapatkan visa Turki. - Reuters

Berita Harian X