Ahad, 10 September 2017 | 10:30pm

AS nafi Iran beri amaran kapal perang di Teluk

BEIRUT: Kapal pengangkut roket Iran berhadapan dengan kapal perang Amerika Syarikat di Teluk dan memberi amaran supaya menjauhi bot nelayan yang rosak, lapor agensi berita Tasnim hari ini.

Namun Tentera Laut AS menafikan sebarang hubungan secara langsung dengan tentera Iran.

Kapal perang AS berpatah balik selepas diberi amaran oleh kapal Iran, milik tentera laut negara itu, menurut Tasnim.

Kapal tentera Iran kemudian menunda bot nelayan itu, yang menghantar isyarat kecemasan selepas dimasuki air, balik ke pantai.

Agensi berkenaan tidak menyatakan bila kejadian berhampiran Selat Hormuz itu berlaku.

Dalam kenyataan, Pemerintah Pusat Tentera Laut AS (NAVCENT), berkata peronda pantai USS Tempest, yang beroperasi di Teluk Oman pada 6 September lalu, mendengar panggilan kecemasan daripada bot kecil kira-kira 75 batu nautika dari kedudukannya.

Pada masa sama kapal Nordic Voyager, yang lebih hampir dengan bot itu, menawarkan bantuan dan membuat hubungan visual dengannya.

Tempest menawarkan bantuan kepada Nordic Voyager, yang ditolak kapal itu, kata NAVCENT.

USS Tempest mendengar Nordic Voyager meminta bantuan Tentera Laut Iran untuk menunda balik ia ke negara itu.

"Tiada sebarang hubungan langsung antara tentera laut AS dan Iran," kata jurucakap NAVCENT, Chloe Morgan.

- Reuters

Berita Harian X