Sabtu, 9 September 2017 | 10:37pm
KETUA baru Hamas, Ismail Haniyeh. - Foto fail Reuters

Pemimpin baharu Hamas lawat Mesir

GAZA: Ketua baru Hamas, Ismail Haniyeh, tiba di Kaherah hari ini untuk berbincang dengan pegawai kanan Mesir dalam lawatan pertamanya sebagai pemimpin pertubuhan itu.

Sejak beberapa bulan lalu, Hamas berusaha memulihkan hubungan dengan Mesir, yang mengawal satu sempadan lintasan dan di bawah pentadbiran Presiden Abdel Fattah al-Sisi, sangat berwaspada dengan hubungan antara Hamas dan Ikhwanul Muslimin.

Hamas mentadbir Semenanjung Gaza, wilayah pesisir pantai padat penduduk yang berkongsi sempadan dengan Mesir dan Israel, yang mengharungi tiga peperangan dengan rejim Zionis itu sejak 2008.

Sejak dekad lalu, Mesir menyertai Israel melaksanakan sebahagian kepungan darat, udara dan air terhadap Gaza.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum, berkata rundingan memberi tumpuan kepada mengurangkan sekatan dan memulihkan perbalahan sekian lama dengan Fatah, yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas.

Tiada ulasan dibuat daripada pegawai Mesir mengenai perbincangan itu.

Haniyeh dilantik mengetuai Hamas Mei lalu. Pergerakan itu mengekalkan sayap bersenjatanya di Gaza sejak merampas wilayah itu daripada Fatah pada 2007. - Reuters

Berita Harian X