Jumaat, 1 September 2017 | 12:31am
ANGGOTA penyelamat melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan di Mumbai. - Foto EPA

22 maut bangunan 117 tahun runtuh

MUMBAI: Seramai 22 maut dan 13 lagi cedera apabila bangunan berusia 117 tahun setinggi enam tingkat runtuh, di sini.

Pegawai penyelamat berkata, seramai 10 orang lain turut dikhuatiri terperangkap di bawah sisa runtuhan.

Menurutnya, 35 mangsa berjaya diselamatkan dari runtuhan berkenaan dan operasi mencari diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Kejadian awal pagi tadi itu berlaku dua hari selepas Mumbai pulih dari banjir kilat dan hujan lebat yang meragut nyawa 14 orang.

Insiden runtuhan itu adalah yang kedua dalam tempoh lebih sebulan selepas runtuhan sebuah bangunan empat tingkat mengorbankan 17 penghuninya pada akhir Julai lalu.

Seorang penduduk, Amina Sheikh, berkata beliau mendengar bunyi yang sangat kuat dan tidak dapat melihat apa-apa berikutan asap tebal dan debu yang menyelubungi kawasan terbabit.

"Apabila semua debu dan asap itu reda, kami dapati bangunan lama itu telah runtuh," katanya.

Bangunan berkenaan dikatakan menjadi premis pusat penjagaan kanak-kanak walaupun disahkan tidak selamat oleh pihak berkuasa perumahan pada tahun 2011. - REUTERS

Berita Harian X