Khamis, 17 Ogos 2017 | 10:06pm
KEMPEN bantahan penderaan terhadap kanak-kanak di India. - Foto fail AFP

Budak 10 tahun mangsa rogol lahir bayi perempuan

NEW DELHI: Seorang mangsa rogol berusia 10 tahun yang mana rayuannya untuk menggugurkan kandungan ditolak Mahkamah Tinggi India, selamat melahirkan bayi perempuan hari ini.

Kanak-kanak itu yang tidak dinamakan atas sebab perundangan, didakwa dirogol beberapa kali oleh bapa saudaranya yang sudah ditangkap sejak kejadian itu.

Bulan lalu, ibu bapanya memohon mahkamah atasan negara itu supaya membenarkan mangsa menggugurkan kandungan di peringkat akhir kehamilan namun ditolak.

Undang-undang India tidak membenarkan pengguguran selepas kandungan berusia lebih 20 minggu, kecuali ia mengancam nyawa ibu atau anak.

"Mangsa melahirkan bayinya menerusi pembedahan hari ini. Kedua-duanya dalam keadaan sihat.

"Pembedahan tiada komplikasi. Bayi itu seberat 2.2 kilogram dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), ketika ini," kata Dr Dasari Harish dari bandar utara India di Chandigarh.

Agensi berita Press Trust of India (PTI) berkata, kanak-kanak itu tidak sedar dia melahirkan bayi dan ibu bapanya memutuskan menyerahkan bayi itu sebagai anak angkat.

PTI berkata, ibu bapanya memberitahu mangsa, ada batu dalam perutnya dan perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkannya. - AFP

Berita Harian X