Khamis, 17 Ogos 2017 | 7:19pm

400 rakyat China, Taiwan ditahan di Kemboja

PHNOM PENH: Pihak berkuasa Kemboja menahan hampir 400 rakyat China dan Taiwan bulan ini kerana disyaki melakukan penipuan telekomunikasi untuk memperdaya mangsa di China.

Langkah itu adalah sebahagian tindakan keras serantau ketika China bergelut menangani penipuan telefon dan internet yang menyebabkan kerugian bernilai berbilion dollar.

Suspek menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menyasar semua golongan daripada warga emas hinggalah ahli perniagaan yang berdepan masalah perundangan.

Polis Kemboja berkata, 225 warga China, 25 daripadanya wanita ditahan di ibu kota ini semalam.

Pihak berkuasa imigresen berkata, tambahan 151 warga China dan tiga rakyat Taiwan ditahan 2 Ogos lalu di wilayah Siem Reap dan Banteay Meanchey.

Timbalan Pengarah Jabatan Polis Anti-Keganasan Thou Saroeun berkata, mereka yang ditahan disyaki menggunakan panggilan suara internet untuk skim pemerasan.

"Kami sedang memproses kes dan tidak tahu bila mereka akan dipindahkan ke pusat pengusiran," katanya.

- Reuters

Berita Harian X