Selasa, 6 September 2016 | 12:52am

Son Heung-Min beri tumpuan penuh kepada Spurs


BINTANG bola sepak Korea Selatan, Son Heung-Min (depan). - Foto EPA

SEOUL: Bintang bola sepak Korea Selatan, Son Heung-Min tidak akan beraksi pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Syria di Malaysia, esok untuk kembali ke England bagi memberi tumpuan kerjayanya bersama kelab Tottenham Hotspur.

Penyerang berusia 24 tahun itu berpindah ke Spurs dari kelab Jerman, Bayer Leverkusenpada Ogos 2015 dan dilaporkan bernilai STG22 juta (RM119.23 juta) yang menjadikannya pemain Asia paling mahal.

Namun di sebalik segala jangkaan, Son hanya melakukan 13 penampilan bersama kelab berpangkalan di London itu dan sering dibayangi pemain bintang seperti Erik Lamela, Christian Eriksen, Harry Kane dan Dele Alli yang semuanya menjadi tonggak ketika Spurs menamatkan saingan di tempat ketiga, musim lalu.

Son berharap mampu beraksi dalam kesebelasan utama pada musim keduanya di Liga Perdana dan tugasan antarabangsa yang panjang jelas mengganggu rentaknya.

Dia sebelum ini menghabiskan beberapa minggu bersama skuad Korea Selatan bagi kempen Olimpik di Rio dan kelayakan Piala Dunia yang menyebabkannya terlepas ketiga-tiga perlawanan awal liga Spurs musim ini selain tidak banyak terbabit ketika kempen pra-musim.

Selepas beraksi ketika Korea Selatan mencatat kemenangan 3-2 ke atas China pada kempen kelayakan Piala Dunia, Son mengesahkan dia akan berada di London dengan restu pasukan kebangsaan.

Korea Selatan membenarkan Son pulang ke kelab itu lebih awal sekali pun tidak wajib melakukannya selepas Spurs sebelum ini melepaskan dia untuk beraksi di Rio.

"Tottenham sentiasa kelab yang ingin saya sertai dan saya tahu saya perlu bekerja keras dan bermain permainan terbaik saya," kata Son.

"Saya berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk bermain sebaik mungkin. Saya meminta maaf kepada rakan sepasukannya saya di skuad kebangsaan dan jurulatih namun saya akan menyokong mereka dan berharap mereka mendapat keputusan baik menentang Syria." - AFP

Berita Harian X