Selasa, 4 November 2014 | 5:24pm
BINTANG tengah Barcelona, Xavi Hernandez ketika sesi latihan bersama pasukannya di Pusat latihan Joan Gamper menjelang pertemuan Clasico menentang Real Madrid, minggu lalu. - Foto AFP

FC Tokyo intai khidmat bintang Barcelona, Xavi

TOKYO: Kelab Jepun, FC Tokyo dilaporkan berminat mendapatkan khidmat bintang Barcelona dan Sepanyol, Xavi Hernandez dan menyertai senarai kelab hebat yang memiliki keinginan sama, Manchester United serta Bayern Munich.

Menurut akhbar sukan Jepun, Nikkan Sports, FC Tokyo dikatakan sudah membuat tawaran kepada wira Piala Dunia Sepanyol itu menerusi perantara.

FC Tokyo yang ketika ini menghuni tangga ketujuh daripada 18 pasukan dalam liga divisyen pertama Jepun, J League begitupun masih belum menyerahkan sebarang tawaran rasmi kepada Xavi, 34.

Begitupun, Nikkan menjelaskan isu kewangan kekal menjadi persoalan utama dengan kelab-kelab kaya di Eropah dan Timur Tengah dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain yang memecah rekod penampilan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah itu.

Selain FC Tokyo, Man United dan Bayern, Xavi turut dikaitkan dengan perpindahan ke Qatar dan Manchester City yang dipercayai memiliki hubungan dengan francais Amerika Syarikat, Ney York FC.

Khabar angin mula meletus awal tahun ini apabila Xavi memberi bayangan akan meninggalkan Barcelona, kelab gergasi Sepanyol yang menaikkan namanya dengan pelbagai kejuaraan besar.

Begitupun, di bawah jurulatih baru, Luis Enrique, Xavi lebih banyak menghabiskan masanya di bangku simpanan musim ini.

J League sebelum ini pernah memancing beberapa nama besar bola sepak dunia antaranya penyerang Uruguay, Diego Forlan, legenda Brazil, Zico dan Dunga selain bintang England, Gary Lineker serta pemain Sweden, Fredrik Ljungberg. - AFP

Berita Harian X