Selasa, 5 November 2019 | 8:53pm
Polis Indonesia berkata hari ini, mereka menahan dua suspek dan memburu empat lain, menambah suspek mungkin berdepan hukuman mati jika didakwa dan didapati bersalah kerana membunuh. -Foto hiasan

2 suspek ditahan bunuh wartawan aktivis Indonesia

MEDAN: Dua lelaki ditahan dalam kaitan dengan pembunuhan kejam dua wartawan aktivis Indonesia yang menjadi orang tengah dalam pertelingkahan tanah antara sebuah syarikat minyak sawit dan penduduk tempatan, kata pihak berkuasa hari ini.

Mayat Maraden Sianipar ditemui minggu lalu dalam parit berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Labuhan Batu, lapan jam perjalanan dari ibu kota wilayah Sumatera Utara.

Polis menemui mayat rakannya, Maratua Siregar di kawasan sama sehari kemudian. Kedua-duanya ditikam beberapa kali.

Polis berkata hari ini, mereka menahan dua suspek dan memburu empat lain, menambah suspek mungkin berdepan hukuman mati jika didakwa dan didapati bersalah kerana membunuh.

“Motifnya adalah dendam dan dikaitkan dengan pertelingkahan tanah ladang sawit. Kami masih menyiasat butirannya,” kata ketua detektif tempatan Jama Kita Purba.

Kedua-dua Sianipar dan Maratua bekerja bersama untuk portal berita dalam talian tempatan sebelum bekerja secara bebas pada 2017. -AFP

Berita Harian X