Rabu, 18 September 2019 | 7:55am
Yayasan Kelangsungan Orangutan Borneo berkata semalam, jerebu menjejaskan ratusan orang utan dalam jagaannya di pusat menyelamat dan pusat perlindungan hidupan liar. -Foto AFP

Jerebu Indonesia jejas orang utan - penyelamat

JAKARTA: Kebakaran hutan besar-besaran di Indonesia yang menyebabkan jerebu toksik tersebar sehingga ke Singapura dan Semenanjung Malaysia secara serius menjejaskan spesies orang utan dan habitat mereka, kata sebuah yayasan penyelamat semalam.

Indonesia sudah mengerah ribuan askar sebagai anggota bomba sementara dan puluhan pesawat pengebom air untuk memadam kebakaran yang menukar hutan hujan di pulau Sumatera dan Kalimantan kepada kawasan rentung.

Kebakaran yang biasanya bermula akibat pembakaran haram untuk membersihkan tanah pertanian, menyebabkan jerebu teruk di seluruh Asia Tenggara.

Yayasan Kelangsungan Orangutan Borneo berkata semalam, jerebu menjejaskan ratusan orang utan dalam jagaannya di pusat menyelamat dan pusat perlindungan hidupan liar.

“Asap tebal bukan hanya membahayakan kesihatan kakitangan kami, namun ia juga menjejaskan 335 orang utan yang kami jaga.

“Sebanyak 37 orang utan disyaki mengalami jangkitan pernafasan sederhana,” kata yayasan dalam satu kenyataan merujuk kepada satu pusatnya di Kalimantan.

Keadaan agak teruk di kemudahan Samboja Lestari di Kalimantan Timur sehingga aktiviti luar untuk haiwan terbabit dihadkan kepada beberapa jam sehari.

Orang utan terutamanya terdedah kepada pembersihan tanah komersial dan menyaksikan habitat mereka semakin mengecil secara dramatik sejak beberapa dekad lalu.

Populasi orang utan di Borneo menurun daripada kira-kira 288,500 pada 1973 kepada kira-kira 100,000 hari ini, menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa.

Asap toksik disebabkan kebakaran hutan adalah masalah tahunan untuk Indonesia dan jirannya namun semakin buruk tahun ini disebabkan cuaca kering.

Di pulau Borneo, yang dikongsi bersama Malaysia dan Brunei, tahap pencemaran adalah ‘berbahaya’ menurut data Kementerian Alam Sekitar. Ratusan sekolah di seluruh Malaysia dan Indonesia ditutup. -AFP


Pemburu haram yang mengancam spesies orang utan, harimau dan hidupan liar lain boleh dikenakan hukuman sehingga 100 sebatan mengikut peraturan baharu di wilayah Aceh, Indonesia. -Foto Reuters

Berita Harian X